Tags

, , , , ,

jpa suspend
1. Kali pertama saya memperoleh biasiswa pendidikan adalah pada tahun 2010. Beberapa minggu setelah peroleh keputusan SPM 2009, ibu melanggan pelan internet broadband, semata-mata ingin memudahkan urusan permohonan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menggunakan keputusan SPM 2009 saya. Alhamdulillah walaupun pengajian luar negara yang didamba tak diperoleh, saya bersyukur mendapat penajaan biasiswa pendidikan JPA semasa 1 tahun pengajian di Asasi UNIMAS dan diteruskan 3 tahun berikutnya untuk sesi pengajian 3 tahun degree.

2. Sepanjang ditaja selama 4 tahun terlalu banyak manfaat diperoleh dari biasiswa pendidikan tersebut. Mana tidaknya, untuk satu semester seorang pelajar tajaan mendapat RM 5,600 – RM 6,500. Selepas tolak yuran pengajian, pelajar mempunyai duit poket sebanyak RM 4,000 untuk perbelanjaan selama 5 bulan. Tidak cukup dengan itu, apabila ianya bertaraf biasiswa maka ia bermaksud penajaan penuh tanpa perlu bayar balik, cuma perlu berkhidmat kontrak 4- 6 tahun dengan kerajaan, itupun sekiranya dipanggil temuduga/bertugas. Mudah bahasanya, duit free.

3. Oleh kerana privileges yang ada pada biasiswa JPA, ia menjadi biasiswa pilihan pertama bagi orang ramai yang sentiasa mencari peluang mencari tajaan pendidikan berbanding MARA, Khazanah, Yayasan Negeri dan lain-lain syarikat swasta.

4. Pada tahun 2010 dan tahun-tahun sebelumnya biasiswa JPA mudah diperoleh (dengan syarat keputusan cemerlang). Ramai pelajar cemerlang ditaja sepenuhnya dan dihantar ke luar negara, ramai juga yang ditaja dalam negara.

5. Pada tahun 2013 kouta mula diturunkan, dan syarat-syarat kelayakan berubah dari tahun ke tahun, semakin ketat. Sebagai contoh mudah, kalau sebelum ini mana-mana pelajar yang mendapat tawaran melanjut pengajian dalam bidang perubatan dikatakan pasti akan mendapat tawaran biasiswa JPA, tetapi sejak 2013 tidak lagi. Ada segelintir pelajar yang mendapat tawaran pengajian bidang perubatan yang tidak mendapat penajaan JPA.

6. Tahun 2014 dan 2015 kita sudah mula dengar, pelajar cemerlang dengan keputusan A+ bagi semua subjek pun ada yang tidak dapat peluang tajaan JPA. Walaupun di sini banyak perbincangan sebagai contoh latar belajang keluarga dan selainnya memainkan peranan dalam isu kelayakan.

7. Pada tahun ini, 2016, dunia biasiswa Malaysia dikejutkan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wee Ka Siong bahawa  biasiswa JPA bagi pengajian pra universiti dan sarjana muda berkebarangkalian besar dihentikan bagi mendepani cabaran kemerosotan ekonomi sejagat.

8. Walaupun boleh jadi benar bahawa dasar baru JPA 2016 itu adalah bagi membolehkan Malaysia terus kekal stabil dalam kemerosotan ekonomi sejagat, namun kepercayaan marhaen terhadap kepimpinan negara semakin meluntur dek isu-isu yang melanda negara, baik dari isu korupsi dan skandal wang sehingga peningkatan kos sara diri yang kian meningkat.

9. Masih dalam perbincangan biasiswa, pelajar yang ingin melanjutkan ke peringkat yang lebih tinggi tak terkecuali dengan isu cabaran mendapatkan bantuan biasiswa, dimana biasiswa Mybrain 15, biasiswa khas untuk tajaan yuran pengajian master dan Phd yang tidak tahu status penerusan tajaannya pada tahun 2016.

10. Belum ada makluman terbaru berkenaan status program penajaan biasiswa MyBrain15. Dalam pembentangan bajet 2016 semalam oleh DS Najib, tidak ada frasa yang menyebut tentang MyBrain15 melainkan frasa peruntukan RM 250 juta kepada KPT. Adalah RM 250 juta diperuntukkan utk KPT pada tahun 2016 itu termasuk suntikan dana MyBrain15? Itu kita belum pasti. Samada ia diteruskan atau tidak untuk tahun 2016 dan seterusnya juga kita belum tahu. Berbeza dengan pembentangan bajet 2015 tahun lepas RM 112 juta diperuntukkan untuk program biasiswa MyBrain15.

11. Statistik tahun 2014, seramai 34,525 pelajar menyambung pengajian dalam peringkat master dan Phd. Sejauh mana Malaysia masih ‘on track’ dalam sasaran mendapat 60,000 pemegang PhD menjelaang 2023?

photo_2016-01-21_23-35-24

12. Isu ini saya turuti perbincangan kedai kopi dengan junior yang sedang menduduki peringkat pengajian asasi. Yang pastinya satu cabaran yang besar bagi generasi mereka dalam mencari sokongan kewangan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.

13. Namun jangan mudah untuk putus asa dan kecewa kerana masih ada ruang untuk pelajar mengusahakan permohonan biasiswa terutamanya agensi swasta, yayasan negeri, yayasan persendirian dan juga zamalah universiti. Bagi umat islam pula, kita mempunyai ruang untuk memohon pada agensi baitulmal negeri untuk permohonan biasiswa pendidikan walaupun mungkin tidak semewah JPA namun masih memberi harapan.

14. Dari satu sudut yang lain pelajar perlu sedar bahawa kita tidak boleh lagi hanya bergantung kepada keputusan cemerlang, tetapi skill-skill dan kemahiran diri perlu dipertingkatkan bagi meningkatkan keboleh pasaran diri kita, dan supaya kita boleh bersaing dengan yang lain.

Apa-apa pun kita mengharapkan yang terbaik bagi kemelut isu biasiswa pendidikan dalam negara kita.

Advertisements