Tags

, , , , ,


Antara Bentuk Kecintaan Bagi Umat Manusia

Anak, cucu, cicit yang ramai dan beranak pinak adalah satu kebanggaan buat umat manusia.

Allah turut menyebutkan dalam alquran bahawa ianya antara satu bentuk kecintaan bagi manusia.

Antara perkara yang akan dibualkan atuk/nenek kita dengan sahabat handai dan saudara mara yang datang berziarah adalah menyebut atau memperkenalkan anak/cucu/cicitnya kpd yg datang berziarah. “Ini anak sulung si Man, ini anak si Ani”. 

Mungkin pada pemikiran orang tua, mereka mempunyai rasa bangga mempunyai keluarga besar, beranak pinak, ramai dan meriah. Belum dicerita lagi tentang kejayaan-kejayaan anak cucu berupa jawatan, gelaran, pencapaian dan macam-macam bentuk kebanggaan yang lain.

Kecintaan kepada keluarga dan bangsa adalah fitrah manusia. Ia adalah sebuah fitrah yang menjadi kekuatan dalam penegakan sesebuah tamadun, tetapi apabila tidak diurus sesuai dengan syariat akan menjadi pemusnah umat manusia.

Kitaran kehidupan tipikal manusia. 

Kita akan melalui kitaran kehidupan yang sama. Di awal kehidupan kita akan bahagia di sisi ibu ayah dan adik beradik. Kemudian melangkah dewasa kita pula mempunyai isteri dan anak. 

Kemudian giliran anak-anak pula membesar dewasa. Dan ketika itu ibu ayah kita sudah tua, tidak sesegar dahulu. Mungkin ada yang pergi menghadap Allah. 

Ia adalah waktu kita menyaksikan kematian demi kematian orang terdekat kita, ibu bapa, pakcik/makcik saudara mara yg dekat dengan kita pergi meninggalkan kita seorang demi seorang.

Kita pula menuruti pengalaman menjadi orang tua dalam keluarga. Kita pula melihat anak-anak berkeluarga dan beranak pinak, duduk berjauhan, anak anak balik sekali sekala menjenguk kita di rumah yg kini lebih sesuai dipanggil ‘kampung’.

Islam Memberi Nilai, Menyegarkan dan Menghidupkan Institusi Kekeluargaan.

Kitaran kehidupan bagi kita sebagai seorang yang mempunyai agenda mengangkat islam mungkin berbeza dari kitaran tipikal keluarga yang tidak mengagendakan dakwah. Perbezaan ini adalah kerana kita adalah pendakwah. Dan keluarga yang kita nak lahirkan adalah keluarga islam dan keluarga  pendakwah. 

Keluarga dan dakwah tidak mungkin terasing kerana islam mengangkat dan memberi nilai kepada sebuah institusi kekeluargaan. Begitu juga matlamat dakwah tidak akan tercapai tanpa adanya keluarga muslim, baitul muslim.

Marilah kita membuka paradigma baitul muslim. Sebelum ini pemikiran kita mungkin pendek hanya nampak pertemuan dua jiwa pendakwah. Tetapi perlu difahami juga tuntutan baitul muslim yang dimahukan oleh islam adalah sebuah institusi kekeluargaan menghidupkan dakwah dan mengangkat islam dari generasi ke generasi. 

Sepertimana lahirnya generasi salaf, para sahabat melahirkan tabi’ dan para tabi’ melahirkan tabi’ tabian dan generasi yang mengikuti langkah mereka sehingga sekarang.

Taqabballahu wa minna wa minkum. Salam aidilfitri

Advertisements