Tags

, , ,

Bercakap tentang tadhiyah (bermaksud pengorbanan), teringat kisah seorang ahli gerakan Iikhwanul Muslimin (IM) di Mesir. Kisah ini mungkin sering didengari, cliche, tetapi biarlah selalu diulang-ulang agar dapat menyegarkan hati kita yang kadang kala kering dengan pedoman.

Pedoman Orang Dulu

Di kota Ismailiah Mesir, berkumpul beberapa orang ikhwah berbincang tentang pembinaan sebuah pejabat operasi dakwah, lengkap dengan masjid. Bilik gerakan ini begitu penting untuk menjalankan dan melancarkan urusan dakwah di kawasan setempat. Dikhabarkan hampir 20 orang ikhwah hadir dalam perbincangan itu.

Turut berada dalam perbincangan itu adalah As-syahid Imam Hasan Al Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin. Beliau mendengar dengan tekun dan serius  perbincangan tersebut. Dalam kehangatan perbincangan, seorang ikhwah bertanya kepada beliau akan pendapatnya tentang perbincangan tadi.

“Apa pendapat Ustaz mengenai cadangan ini?”

“Secara prinsipnya, cadangan ini sangat bernas!” jawab Imam Asy-Syahid.

“Akan tetapi untuk merealisasikannya, kita perlu memenuhi beberapa syarat. Pertama, kita harus mengkhususkan niat hanya kerana Allah s.w.t, mengukuhkan azam untuk menghadapi kesulitan, kemudian bersabar dan berkerja keras. Selain itu, kita harus melibatkan diri kita dalam setiap kegiatan yang dianjurkan secara berterusan. Lantas, kita sendiri yang harus memulai untuk berjuang dan berkorban.

“Jika kalian serius dan sungguh-sungguh untuk merealisasikan cita kita bersama, sebagai buktinya kalian harus memberikan sumbangan berjumlah 50 junaih dari poket kalian sendiri. Serahkan duit itu kepada Akh Sayyid Afandi Abu As-Su’ud selaku bendahari dalam tempoh seminggu. Kalian tidak perlu menyebut-nyebut hal ini kepada seorang pun dan jangan sampai ia diperbincangkan. Setelah seminggu, kita akan berkumpul lagi seperti pertemuan malam ini. Jika kita dapat mengotakan janji kita ini dan dapat menjaga kerahsiaan infaq ini, percayalah bahawa projek kita ini akan berjaya, Insya Allah”, tegas Imam Asy-Syahid

Akhirnya berjayalah mereka membina markas dakwah lengkap dengan masjidnya. Sejak pada hari itu pelbagai projek dakwah direncanakan, pelbagai program dan pengisian dilaksanakan. Antara aktivitinya adalah kuliah mingguan yang disampaikan oleh Imam As-syahid sendiri.

Namun ada sesuatu yang aneh disedari para ikhwah dan Imam As-syahid sendiri, iaitu kelewatan seorang ikhwah menghadiri kuliah mingguan tersebut. Selalunya dia lah yang akan sampai paling awal, tapi kini kerap kali lewat.

Imam As-syahid bertanya kepada al akh tersebut kenapa dia selalu lewat menghadiri kuliah mingguan tersebut, tetapi jawapannya seperti tidak jelas, seolah menyembunyikan sesuatu. Pada akhirnya diketahui bahawa bukan ikhwah tu tak mahu berterus terang, tetapi dia mencuba untuk menjaga keikhlasan hatinya dari sifat riak.

Ketika Imam Asy-Syahid menetapkan bahawa setiap ikhwan perlu memberi sumbangan berjumlah 50 junaih dari poket mereka sendiri dan merahsiakan amal tersebut, beliau telah memberi duit pendapatan hariannya sebanyak 150 qirsy setiap hari. Namun, ketika hari pembayaran tiba, beliau tidak berjaya juga untuk mengumpulkan wang sebanyak 50 junaih. Terlintas dibenaknya untuk berhutang, namun beliau ragu dan bimbang jika tidak dapat melangsaikannya.

Akhirnya ikhwah tersebut menjual basikal tua nya yang selalu digunakannya untuk urusan harian demi mendapatkan sejumlah wang untuk membayar duit pembinaan pejabat dan masjid untuk urusan dakwah tersebut. Akibat dari itu, dia terpaksa berjalan 6 KM dari rumah ke kuliah mingguan yang sebelum ini dia menggunakan basikal. Atas sebab itu dia sering lewat ke kuliah mingguan.

Ikhwah lain yang mendengar kisah pengorbanan tulus ini sangat terharu. Lantas, tanpa pengetahuannya, mereka bersepakat membeli basikal baru bagi mengantikan basikal yang telah dijual bagi tujuan infaq fi sabilillah dan sebagai hadiah akan ketulusan dan pengorbanan beliau.

Nama beliau adalah Al-Akh Ali Abul A’laa. Itulah pengorbanan beliau bagi membuktikan keimanannya terhadap gagasan dakwah ini.

Dan apa saja yang kamu infakkan, Allah akan menggantinya dan Dia-lah Pemberi rezeki yang terbaik (Surah Saba’: 39)

Lagi Kisah Pengorbanan

Sepanjang aku berada di bumi Sarawak,  ada beberapa pengalaman kisah pengorbanan pernah aku dengar dan saksikan.

Pernah satu masa dulu di fasa awal dakwah mula nak bertapak, seorang ikhwah menginfakkan lebih RM 3,000 dari duit biasiswa semesternya untuk membeli sebuah kereta usang untuk digunakan bagi tujuan program dakwah. Bukan mudah untuk memberikan RM 3,000 begitu sahaja, kalau bukan kerana dorongan keimanan terhadap perjuangan ini.

Dulu ikhwah sanggup travel ke Sibu untu membawa usrah dengan kekerapan 1 kali dalam 2 minggu, travel ulang alik menaiki bas menempuh 5-6 jam perjalanan sehala.

Ada juga kisah beberapa orang ikhwah lama cuba untuk bertahan lama di Sarawak, walaupun telah habis belajar, namun sanggup bertahan lebih 3 tahun untuk menstabilkan medan sebelum BFG. Bukan bujang, tetapi dengan komitmen sebagai seorang suami dan ayah kepada isteri dan 2-3 orang anak.

santubong-2010

Pernah juga seorang ikhwah menaja tiket penerbangan (pergi balik) aku untuk ke program dakwah di semenanjung, awalnya aku ingin menggunakan kemudahan internet banking darinya, tetapi bila hendak bayar balik wang yang didahulukan dia menolaknya. Katanya: “Ana nak pergi tapi tak dapat, tapi ana nak dapat bahagian pahala. Biar ana tanggung tiket flight enta”

Ada juga kisah peribadi, dimana ikhwah meminjamkan motornya kepada aku selama setahun memandangkan aku tidak dapat kolej dan menetap di luar, pada tahun kedua pengajian degree aku untuk memudahkan urusan keluar masuk universiti.

Semoga Allah membalas jasa semua ikhwah dengan sebanyak-banyak kebaikan dan rahmat.

Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambanya. (Surah Al-Baqarah: 207)

Generasi Kini

Pada pendapat aku, apa yang kurang pada tarbiah generasi baru ini adalah pendidikan tadhiyah (pengorbanan). Apakah benar nilai ini sudah luput? atau pun bentuk/jenis pengorbanan yang difahami generasi adik-adik adalah berbentuk lain, yang berbeza dengan pengorbanan yang aku faham? apakah suasana sekarang ini begitu selesa, nikmat dan kemudahan di keliling pinggang.

Siapa yang sanggup bertahan di sini untuk mengukuhkan dan menstabilkan dakwah sebelum balik ke tempat asal masing-masing.

Siapa yang sanggup mengorbankan masa waktu cutinya yang berminggu dan berbulan untuk membina anak buah dengan penuh kesungguhan dan keghairahan.

Siapa yang sanggup sambung pengajian di sini untuk berada lama di kawasan amal, walaupun di sana banyak IPT-IPT yang dekat dengan rumah dan tempat asalnya.

Siapa yang sanggup lemas dengan segala permasalahan dan beban dakwah, mengambil semuanya dengan penuh tanggungjawab dan keazaman yang tinggi.

Aku rindu untuk melihat pemuda yang mempunyai keazaman yang begini, pemuda yang kepalanya saban hari berfikir tentang urusan dakwah dan risau kalau-kalau kemalasan dan kelesuannya melambatkan kerja dakwah.

Apakah kita layak dipanggil golongan yang berjihad, sedangkah tiada erti jihad tanpa ada nya pengorbanan.

Kalau tidak dapat melakukan semua di atas, paling tidak pun berapa ramai anak buah yang kita bawa akhirnya menjadi dan terbina? atau sebenarnya ramai yang gugur di tangan kita, kerana kemalasan, dan kerendahan komitmen kita.

 

Benar sebuah kata-kata ini, yang apabila direnungi membuat diri ini bermusahabah sendiri.

Bukan dakwah yang perlukan kita, tetapi kitalah yang perlukan dakwah.

6 Januari 2016
KL Sentral

Advertisements