Tags

, , , , , , , ,

Dunia dikejutkan lagi dengan insiden pembantaian umat islam di Syria. Baru-baru ini insiden pengeboman gas sarin oleh tentera rejim Bashar Al-Asad yang bertempat di Idlib, Syria. Seramai 70 maut, belasan daripadanya adalah kanak-kanak dan bayi. Beratus lagi cedera.

Kita scroll dan scroll, menonton video demi video, dinding media sosial kita dipenuhi dengan berita pengeboman kimia sepanjang hari. Hati yang masih terjaga fitrahnya sudah tentu merasa sebak, tersentuh dan sedih. Air mata kita mulai bergenang melihat keadaan mereka mencungap menghirup udara kerana sesak nafas. Air mata kita mengalir melihat tubuh pucat, terkujur tidak bergerak yang cuba diselamatkan oleh orang awam. Cukup sebak melihat permandangan ini berlaku dihadapan mata kita, ketika hayat kita. Mereka semua hanyalah masyarakat awam, kanak-kanak, orang yang tidak bersalah, dan apa yang lebih membuat hati ini merasa hiba adalah kerana mangsa itu sendiri adalah saudara islam kita.

Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama sebatang tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam. [HR. Muslim]

Hakikat yang sama berlaku di bumi-bumi umat islam yang lain. Rohingya, Palestin, Libya, Yaman, Mesir, Xinjiang. Mereka adalah umat yang sama, menyembah Tuhan yang sama iaitu Allah, dan mengaku Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah. Mereka semua adalah umat kita, umat islam. Lantas kita bertanya kepada diri kita di lubuk hati yang paling dalam, “Apa yang aku boleh lakukan untuk membantu umat ini ya Allah”

Sebenarnya Allah tidak sesekali mengendahkan keadaan umat islam yang dibantai teruk di seluruh bumi umat islam. Allah tidak membiarkan orang beriman terkontang-kanting mencari jalan penyelesaian menghadapi kemelut umat ini.  Tetapi Allah telah meninggalkan orang beriman dengan sebuah petunjuk, serta jalan dan cara untuk melakukan perubahan melalui perbuatan Nabi, dan pedoman dari generasi awal islam.

Punca Kelemahan Umat

Punca kepada segala kemelut dan kemunduran umat islam dalam pelbagai aspek samada ideologi, kemanusiaan, peperangan, kemiskinan, keruntuhan akhlak, perpecahan adalah berpunca dari satu sumber; ia adalah kerana kehancuran jiwa masyarakatnya.

Sebelum konflik peperangan dan kejatuhan islam ini berlaku, jiwa mereka telah runtuh terlebih dahulu. Mereka dihinggapi pelbagai penyakit.

Dari sudut politik bangsa ini telah dijajah oleh musuhnya. Pemimpin dikawal dengan satu ideologi dan sistem tinggalan penjajah. Sebuah sistem politik yang tidak membawa kepada pembinaan jiwa dan kekuatan umat islam. Dalam masa yang sama masyarakatnya berpecah, berpuak dan bermusuh.

Dari sudut ekonomi, amalan riba berleluasa disemua lapisan, dan syarikat-syarikat asing menguasai sumber kekayaan mereka. Industri-industri yang menjana sumber pendapatan negara mereka dimiliki oleh negara-negara kafir.

Dari sudut pemikiran timbul kekeliruan dalam kalangan ahli masyarakat. Falsafah dan ideologi asing mula menjadi neraca pemikiran mereka. Mereka lebih rela berhukumkan kefahaman atau falsafah selain daripada hukum hakam islam. Mereka muncul dengan pelbagai ideologi seperti liberalisme, pluralisme, sekularisme serta bergerak dengan pelbagai nama dan persatuan. Ideologi dan pemikiran ini pada akhirnya menggugat akidah mereka dan menghancurkan nilai-nilai baik dalam diri masyarakat mereka.

Dari sudut sosial pula wujud budaya pergaulan bebas dan keruntuhan akhlak. Budaya ‘couple’ mennjadi kebiasaan dalam kalangan remaja dan belia mereka. Hatta zina dan pornografi menjadi kebiasaan bagi masyarakat ini. Sifat terikut-ikut dengan budaya barat akhirnya meracuni hidup generasi remaja dan belia mereka. Mereka mudah terikut-ikut budaya dan trend hedonisme terkini. Menyibukkan diri dengan apa yang memuaskan hawa nafsu mereka

Dari sudut undang-undang mereka berhukumkan undang-undang tinggalan penjajah. Sebuah undang-undang yang tidak mampu menakutkan penjenayah dan mendidik pelaku. Undang-undang yang tidak membela orang yang dizalimi.

Dari sudut pendidikan wujud kepincangan pada dasar dan polisi pendidikan negara. Falsafah dan sistem pendidikan ini tidak berjaya membentuk jiwa dan akhlak. Sebaliknya hanya fokus kepada kemajuan keilmuan dengan mengabaikan aspek pembinaan jiwa. Yang pada akhirnya jiwa bangsa ini ditimpa sifat-sifat lemah semangat, penngecut, rendah diri, bacul, tamak, pentingkan diri dan tidak rela berkorban.

Kehancuran pelbagai aspek ini akhirnya membawa masyarakat islam ini jauh dari tujuan hidup sebenar. Ia berjaya membuang semangat dan sifat rijal dalam kalangan ahli masyarakat. Malah lebih teruk lagi terbentuk sebuah masyarakat yang pengecut, hanya mahu berseronok dan berhibur, dan tidak mahu menggalas tanggungjawab yang besar dan menanggung beban perjuangan.

Segalanya Bermula Dengan Perubahan Diri

Mahu atau tidak mahu, untuk umat ini kembali bangkit membela diri, mereka harus memulakan dengan diri mereka sendiri. Iaitu dengan mentarbiah diri dan menyeru orang lain untuk ikut sama mentarbiah diri. Itulah metod atau cara bagaimana Nabi SAW dan para sahabat memulakan kebangkitan islam.

Umat islam perlu kembali menghayati roh islam pada peringkat individu, keluarga dan masyarakat. Setiap individu, keluarga dan masyarakat perlu membina kekuatan iman dan rohani dengan memahami ajaran islam dan melaksanakan seluruh tuntutannya dan beriltizam dengannya hingga akhir hayat.

Mereka perlu beriltizam dengan islam dalam segala urusan kehidupannya seperti ibadah, keluarga, masyarakat, kerjaya, ekonomi, sosial, pendidikan, undang-undang, serta politik dan pemerintahan. Mereka perlu melaksanakan tuntutannya dengan penuh komited, dan meninggalkan larangannya dengan bersungguh.

Kekuatan individu, keluarga dan masyarakat islam adalah asas kepada penegakan sebuah negara islam. Hanya apabila keempat komponen ini kuat, mereka mampu untuk membebaskan negara dari penjajahan dan pengaruh kuasa asing. Hanya dengan ini umat islam mampu kembali membela diri, menuntut kembali hak-hak yang telah dirampas, dan mengangkat maruah umat dan agama di tempat yang tertinggi.

Hanya dengan cara ini juga mereka mampu mengislah sistem politik, undang-undang, ekonomi, pendidikan, sosial, dan pemerintahan yang telah merosakkan umat kita serta melemahkan jiwa mereka.

Namun usaha ini adalah usaha yang jerih dan panjang. Mereka perlu kental semangat, menguatkan kesabaran, serta bersedia mengorbankan keperluan diri mereka untuk proses pembinaan yang panjang ini.

Hasan Al-Banna pernah memberi peringatan kepada kita dalam pidatonya:

Wahai kaum muslimin, khasnya yang bersemangat dan tergesa-gesa! Sesungguhnya jalan dakwah kamu ini, langkah-langkahnya telah disusun, sempadannya telah ditentukan, aku tidak akan menyanggahi sempadan yang aku amat yakin sebagai lebih selamat untuk sampai kepada matlamat. Memang jalannya panjang, tapi tiada jalan lain selain daripadanya. Siapa dari kalangan kamu hendak memetik buah sebelum masaknya, maka aku tidak bersamanya. Lebih baik dia mencari jalan dakwah yang lain. Siapa yang bersabar dengan aku sehingga benihnya bercambah, pokoknya tumbuh dan buahnya elok sampai masa untuk dipetik, maka ganjarannya di sisi Allah, kita sama-sama akan mengecapi ganjaran para hambanya yang berbuat baik: sama ada mendapat kemenangan atau kekuasaan, dan sama ada mendapat syahadah atau kebahagiaan.

Maka sekarang dihadapan kita telah terbentang sebuah jalan yang jelas bagi memulakan sebuah kebangkitan, dan membela nasib umat islam yang tertindas. Marilah kita bersama membina kembali jiwa kita, dengan usaha pentarbiahan yang bersungguh dan mendalam. Serulah ahli keluarga kita, rakan dan ahli masyarakat sekeliling kita kepada usaha pengislahan diri.

Inilah sebuah jalan yang terang dan jelas untuk menuju kepada sebuah matlamat yang kita dambakan, iaitu kebangkitan islam di atas muka bumi.

Katakanlah (wahai Muhammad), inilah jalanku, Aku dan pengikut pengikutku menyeru (kamu) kepada Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata, , Maha Suci Allah Aku tidak termasuk dalam golongan musyrik (Yusuf 12:108).

Segala video dan gambar pembantaian umat islam di Syria yang disaksikan mata kita ini bakal ditanya dan dipersoalkan Allah kelak. Mampukah kita ini memberi jawapan dihadapan Allah, sekiranya kita hanya berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa?

Advertisements