Suku pertama tahun 2017 adalah musim berlakunya peralihan jawatan dalam pelbagai NGO dan persatuan. Yang lama bakal melepaskan jawaan dan diganti dengan pimpinan yang baharu. Yang baharu pula mula memimpin organisasi dengan DNA kepimpinan yang pastinya berbeza dari yang lama. Pelbagai majlis dan mesyuarat agung akan berlangsung sebagai simbolik peralihan ini.

Jika orang barat melihat penerimaan dan perlepasan kepimpinan dan jawatan pada kaca mata skill, pengaruh, personaliti dan pencapaian semata-mata.

Namun sebagai orang islam, penerimaan dan perlepasan kepimpinan dan jawatan ini perlu dilihat sebagai satu urusan penting antara dia dan Allah. Urusan yang bakal ditanya dan diminta untuk bersoal jawab dengan Rabb-nya, Allah SWT.

1. Bagi Yang Melepaskan Jawatan

Di akhirat nanti mereka dihadapkan dengan Allah SWT. Tersedia di hadapan mereka mizan (penimbang) yang akan mengukur kebaikan dan kejahatan yang telah dikerjakan. Antara yang akan ditanya, dipersoal, dinilai dan diukur adalah amanah-amanah serta tanggungjawab yang diberikan sewaktu di dunia.

Bagi yang ikhlas mengerjakan tanggungjawab, tidak mengharapkan habuan selain daripada keredhaan Allah, maka amalnya akan diredhai dan diterima oleh Allah, dan diganjarkan dengan pahala kebaikan. Mereka tergolong dalam 7 golongan yang mendapat naungan Allah di hari kiamat. Mereka mendapat kebahagiaan, kerahmatan, dan ketenangan kerana amal ikhlas mereka. Semoga kita tergolong dalam golongan yang dirahmati ini.

Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda,

“Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya: (1) Pemimpin yang adil,…” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi yang tidak ikhlas mengerjakan tanggungjawab, mengharap habuan pada pangkat, populariti, harta dan habuan dunia yang lain. Maka amalannya ibarat debu yang berterbangan, tiada nilai, walaupun dia letih di dunia kerana mengerjakan tanggungjawab itu, ia tidak dapat memberi sebarang manfaat padanya. Malah lebih buruk, dia berdepan dengan ancaman neraka Allah, dan tergolong dalam tiga golongan pertama yang akan dimasukkan ke dalam neraka

Sabda Nabi SAW:

“Sesungguhnya manusia pertama yang diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya kenikmatan-kenikmatan (yang diberikan di dunia), lalu ia pun mengenalinya. Allah bertanya kepadanya : ‘Amal apakah yang engkau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?’ Ia menjawab : ‘Aku berperang semata-mata karena Engkau sehingga aku mati syahid.’ Allah berfirman : ‘Engkau dusta! Engkau berperang supaya dikatakan seorang yang gagah berani. Memang demikianlah yang telah dikatakan (tentang dirimu).’ Kemudian diperintahkan (malaikat) agar menyeret orang itu atas mukanya (tertelungkup), lalu dilemparkan ke dalam neraka. ” (Riwayat Muslim.)

2. Bagi Yang Dilantik

Bagi yang telah dilantik, ketahuilah bahawa bebanan ini mendekatkan diri kita dengan Allah dan syurganya apabila terlaksana tuntutannya dan ikhlas mengerjakannya. Kita juga sering mendoakan supaya kita diangkat menjadi imam kepada orang bertaqwa. Ketahuilah bahawa penghuni syurga itu tergolong kepada 3 kelompok, antaranya adalah pemimpin yang adil. Maka bersikap adil dan bertanggungjawab pada jawatan adalah tiket untuk kita ke syurga.

Namun perlu diketahui juga, di hadapan kita terbentang peringatan serta ancaman dari Allah.

Sabda Nabi SAW:

Tidak ada seorang pemimpin yang menguruskan urusan orang Islam, lalu dia tidak bersungguh-sungguh (menunai amanah) dan tidak menasihati mereka, maka dia tidak akan masuk syurga bersama mereka (Riwayat Muslim).

Dalam riwayat yang lain:

Tiada seorang pemimpin pun yang mengendalikan urusan rakyatnya dari kaum muslimin kemudian dia mati dalam keadaan dia mengenepikan/menipu rakyatnya melainkan Allah haramkan baginya syurga (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hendaklah setiap dari kita sentiasa memohon taufiq dan hidayah daripada Allah sepanjang perjalanan kepimpinan kita. Kita perlu berharap supaya organisasi ini dibimbing dengan bimbingan Allah.

Bersihkan jiwa kita, dan sentiasa melazimi taubat dan istighfar. Mohonlah dari Allah supaya dikurniakan kekuatan hati dan ketinggian azam untuk membawa organisasi menuju redha Allah SWT.

Wallahualam.

Advertisements