Tags

, ,

Cinta adalah satu perasaan yang hadir di dalam hati. Ia adalah satu kecenderungan hati terhadap sesuatu perkara yang didasari rasa kasih dan sayang. Perasaan ini hadir dalam diri manusia sebagai satu perkara yang fitrah. Kerana kecenderungan manusia untuk mencintai adalah fitrah.

Dalam masa yang sama cinta adalah sesuatu yang misteri. Ia tidak dapat dlihat, tiada bentuk, tiada bau, tiada rupa, tidak ada saiz tetapi ia tetap mengisi ruang hati dan perasaan dalam diri kita.

Dari cinta juga, manusia mampu mengungkapkan kata-kata yang indah dan puitis. Menghasilkan alunan lagu yang mendayu dan menyentuh perasaan. Kerana cinta juga manusia mampu melakukan pengorbanan. Kerana cinta juga manusia sanggup mengorbankan dirinya untuk orang lain. Cinta merupakan satu sebab yang kuat untuk manusia memulai sesuatu perbuatan.

Cinta adalah sumber kekuatan, suatu dorongan berbentuk perasaan yang menolak diri untuk maju, berkembang. Ia mampu merehatkan jiwa yang lelah, memberi ketenangan dan ketenteraman hati.

Cinta juga adalah sumber kelemahan. Ia mampu mengguris hati, membuat hati dan perasaan tidak keruan. Mengubah perangai serta tingkahlaku, menjadikan jiwa manusia sensitif, kecewa. Lebih teruk, ia mampu merendahkan martabat manusia setaraf haiwan.

Keutamaan Cinta Di Sisi Orang Beriman

Namun dalam mengungkap persoalan tentang cinta, yang paling utama adalah apakah keutamaan cinta di sisi seorang Mukmin?

Di sisi orang beriman, pemilik cintanya yang pertama adalah Allah. Dia mentauhidkan-Nya, membesarkan-Nya dalam segenap kehidupan. Kerana kecintaannya kepada Rabb-nya dia mahu mendengar seruan-Nya, permintaan-Nya. Seperti mana kita mahu melakukan apa sahaja kpd orang yang kita cintai, seperti itu jugalah malah lebih dari itu kita perlu melakukan apa sahaja yang Allah suruh. Mengerjakan apa yang diseru, meninggalkan apa yang tidak disukai-Nya. Kecintaan kepada Allah mendorong kita untuk menegakkan agama-Nya dan berkorban jiwa dan raga untuk usaha tersebut.

Mereka yang mencintai Allah, akan mencintai Rasul-Nya. Kecintaannya pada rasulullah menolak dirinya untuk mencontohi, meneladani perbuatan, tingkahlaku rasulullah. Cinta kepada rasulullah mendorong dirinya mencintai jalan dakwah, lantas dia mengorbankan kepentingan dirinya untuk dakwah dan perjuangan islam. Kecintaan kepada rasulullah mendorong kita menekuni dan mendalami sirahnya, mengambil hikmah dan iktibar buat panduan hidup di dunia.

Pemilik cinta ketiga pula adalah ibu dan bapa. Yang lebih layak mendapat perhatian dan kasih sayang diri kita selepas Allah dan rasul. Mereka telah mencurahkan kasih sayang tanpa syarat sepanjang membesarkan kita. Mereka telah mencurahkan sepenuh perhatian dan kudrat untuk meletakkan kita di tempat kita berdiri sekarang. Bersyukur kepada Allah atas nikmat ibu dan bapa yang memberi kasih sayang tanpa meletakkan sebarang harga, mahupun sebarang syarat. Inilah cinta yang ikhlas dan suci. Unconditional love.

Apabila Diuji Cinta Terhadap Seseorang

Perkara pertama kita kena tanyakan pada diri kita, atas dasar apa kita jatuh cinta? Kerana kecintaan kita kepada sesuatu sering menjadikan kita tidak rasional.

Apabila diuji sebegini kekalkanlah rasional akal dan fikiran. Elak tenggelam dalam lamunan dan perasaan. Syaitan akan memanfaatkan ruang-ruang ini untuk merendahkan martabat kita. Busur-busur panahnya akan bertubi-tubi dilepaskan.

Cintamu kepada sesuatu menjadikan kamu buta dan tuli. [HR. Abu Dawud dan Ahmad]

Ada cinta yang bersifat benar. Kecintaan yang timbul lahir dari kecintaan kepada Allah, Rasul dan agama. Kecintaan yang lahir dari kecantikan akhlak, dan kesungguhan terhadap perjuangan agama. Saidatina Khadijah tertarik kepada akhlak Nabi SAW. Anak Saidina Umar, Ashim Ibn Umar melamar gadis penjual susu yang jujur kerana akhlak dan iktizamnya terhadap nilai agama (dari keturunan ini lahir Khalifah Umar Abd Aziz).

Ada cinta yang buta. Sifatnya palsu dan sementara. Kecintaan yang timbul dari panahan syaitan, dan lamunan perasaan serta hawa nafsu. Kecintaan ini berdiri di atas sebab-sebab yang tidak jelas dan kukuh. Cinta buta tidak akan hadir di dalam hati seseorang yang selalu mengingati Allah. Sebab cinta buta hanya berada di dalam hati yang kosong. Seperti dikatakan seorang penyair :

“Cintaku pada perempuan itu datang sebelum aku mengenal cinta, Ia datang ke hati yang kosong, kemudian bersaralah ia”.

Bayangkan kita buta. Kita tak dapat melihat apa yang berada di sekeliling kita. Kita tidak dapat melihat apa yang baik dan buruk.

Bayangkan pula kita pekak. Kita tak dapat mendengar suara di sekitar kita. Kita tak dapat mendengar nasihat atau teguran yang baik.

Memang benar jika cinta dikatakan dapat membuat buta dan tuli. Baik buta dan tuli dalam pada  fizikal mahupun pada hati. Ini sudah tentu cinta yang tak terikat dengan batas syarak.

Kesimpulan

Sekiranya cinta itu didasari kecintaan kepada Allah, Rasul dan perjuangan agama ini, dan sekiranya sudah bersedia maka bersegeralah untuk diurus dengan cara yang sepatutnya agar ia tidak merosakkan dan melalaikan hati. Jagalah batas-batas agama yang perlu dijaga.

Kalau kita menyimpan perasaan dan keinginan yang mendalam kepada seseorang tetapi tidak bersedia untuk melanjutkan hasrat itu melalui cara yang halal dan baik maka putuskanlah harapan tersebut, walaupun ia kelihatan perit. Harapan-harapan itu hanyalah bersifat palsu, ia dihias syaitan supaya kita merasa berat untuk meninggalkannya.

Sesungguhnya ia lebih mengkhusyukkan solat, menjernihkan hati, melapangkan pemikiran, mententeramkan jiwa untuk mengenali Allah dan menjalani kehidupan yang bebas dari perasaan gelisah dan risau.

Letakkanlah pengharapan kita yang terbaik pada Allah. Ingatlah kita pada janji Allah SWT bahawa sesiapa dalam kalangan hambanya yang menjaga urusannya dengan Allah. Nescaya Allah akan menjaga urusan kita. Yakinlah kita dengan jagaan dan jaminan Allah. Hidupkan hati kita dengan pengharapan kepada Allah.

Sekiranya cinta itu kerana sebab-sebab al-hawa’, maka muhasabahlah sejauh mana kekuatan hubungan kita dengan Allah, sejauh mana kerapnya tilawah dan sujud. Sejauh mana pula perasaan khauf (takut) dan raja’ (berharap) kepada Allah. Kerana cinta yang didasari al-hawa ini tidak akan hinggap di dalam hati orang yang sentiasa hampir dengan Allah, sebaliknya akan selalu hadir di dalam hati orang-orang yang lalai dan jauh dari perhatian Allah.

Penyatuan dua insan melalui pernikahan adalah ibarat membina masjid, mahukah kita membina masjid dalam keadaan sebelum itu bermaksiat kepada Allah dengan mesej cintan-cintun, tidak menjaga hati, tidak menjaga ikhtilat. Walaupun masjid itu berjaya dibina, tapi batu bata binaannya retak, busuk dan buruk. Mahligai masjid apa sebenarnya yang mahu dibina. Generasi muslim apa yang hendak dlahirkan dari madrasah ini?

Perempuan yang keji adalah untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji adalah buat perempuan yang keji. Dan perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik [Surah An-Nur:26)

Advertisements