Tags

, ,

Alhamdulillah Ramadan telah melabuhkan tirai. Moga segala amalan diterima Allah dan diampunkan dosa-dosa yang telah lalu.

Apabila ditanya kepada orang yang mendirikan Ramadan tentang apa yang dirinduinya tentang bulan tersebut rata-rata akan merindui untuk mendirikan solat sunat terawih. Pada bulan ini umat islam seolah-olah mendapat satu kekuatan dan keinginan yang baru untuk hadir ke masjid, dan mendirikan solat terawih secara berjemaah. Itulah antara keberkatan limpah kurnia Allah di bulan Ramadan.

Namun momentum dan kekuatan itu jangan dipersiakan walaupun tiada ibadah terawih pada bulan lain. Momentum dan kekuatan itu perlu diteruskan dengan melakukan ibadah-ibadah yang lain. Dalam penulisan ini saya ingin berbincang tentang solat sunat rawatib

Solat sunat rawatib adalah solat sunat dua rakaat yang mengiringi solat fardu. Ia terbahagi kepada dua, iaitu sebelum (Qobliyah) dan selepas (ba’diyah).

Antara hikmah solat Qobliyah adalah untuk menenangkan jiwa seseorang sebelum mendirikan solat fardu. Setelah melalui aktiviti kehidupan seharian yang ada kalanya terlalu sibuk dan kepenatan hingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu khusyuk. Jadinya dengan mendirikan solat sunat dua rakaat dapat memberi kerehatan pada jiwa untuk bertenang dan bersedia mendirikan solat fardu

Manakala hikmah solat sunat Ba’diyah adalah bertujuan menyempurnakan apa-apa kekurangan yang mungkin wujud ketika melakukan solat fardhu. Kadang-kadang mungkin hati tidak khusyuk sepanjang solat, atau pergerakan solat yang tidak sempurna, mahupun kekurangan pada bacaan-bacaan ketika solat.

Solat sunat rawatib boleh dikerjakan pada setiap kali sebelum dan selepas solat fardu, kecuali selepas fardu subuh, dan selepas fardu asar.

Apa pun hikmah yang tersembunyi kekal pada pengetahuan Allah. Kita hanya mampu memikirkan yang zahir sahaja dengan ilmu dan kemampuan akal yang terbatas

Apa yang lebih utama yang kita harapkan adalah semoga dengan banyaknya rukuk dan sujud yang kita kerjakan mendapat keredhaan Allah, diampunkan dosa dan mendekatkan hubungan kita dengan Allah SWT.

Dalam sebuah hadis riwayat Ibn Hibban, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya

Sesungguhnya jika seorang hamba sedang sholat, ia datang membawa dosa-dosanya dan Allah letakkan dosa-dosanya itu di atas kepala atau pundaknya. Maka setiap ia ruku’ atau sujud dosa-dosa itu jatuh berguguran.

Semoga pengetahuan ini dapat meningkatkan motivasi dan dorongan dalam diri kita untuk mengerjakan solat sunat rawatib dan terus istiqamah mengamalkannya.

Advertisements