Cadangan ‘Two States Solution’ oleh TS Muhyiddin Perlu Ditarik Balik

Foto BERNAMA (2021) COPYRIGHTS RESERVED

Kenyataan TS Muhyiddin Yassin pada 15 Mei 2021 yg menyokong penyelesaian secara ‘Two States Solution’ dalam ucapannya adalah memalukan dan membunuh perjuangan rakyat palestin itu sendiri.

Penyelesaian dua negara secara langsung mengiktiraf kemasukan, pencerobohan dan penubuhan negara haram Israel secara berterusan sejak 1948. Ini bermakna segala aktiviti massacre bersiri, rampasan tanah, pencerobohan dan peperangan yang dihadapi orang Palestin sekian tahun adalah sia-sia.

Penyelesaian dua negara itu sendiri membunuh titik tolak perjuangan dan jihad orang Palestin selama ini. Rakyat Palestin tidak berjuang untuk memiliki negara sendiri kerana negara haram Israel itu sendiri, mereka berjuang untuk membebaskan kembali tanah asal mereka yang menjadi hak abadi mereka sejak berkurun lama.

Pengiktirafan penubuhan negara haram Israel juga bermaksud mengiktiraf hak negara haram Israel membunuh, menghalau, menceroboh dan menduduki negara Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang sekian lama dipertahankan oleh umat islam sejak Saidina Umar Al-Khatab membebaskannya pada tahun 637 masihi.

Kenyataan teramat berat oleh TS Muhyiddin ini perlu segera ditarik balik kerana ia bakal membuahkan normalisasi hubungan diplomatik negara-negara luar dengan negara haram Israel seperti yang telah berlaku di UAE, Bahrain dan lain-lain. Bahkan lebih buruk, menanam bibit normalisasi hubungan terhadap Israel dalam kalangan rakyat Malaysia.